literature

Jangan Pandang Belakang

Deviation Actions

IzumiIshtar's avatar
By
Published:
593 Views

Literature Text

"Orang kata bila berjalan seorang diri... kalau ternampak makhluk halus, jangan ditegur. Kalau ia tegur jangan dijawab. Nanti ia tahu kamu ternampak dia, boleh dengar ia... nanti ia ikut. Nanti ia kacau..."

Rosnita terus menggelengkan kepala. "Ye lah tu, abang suka cerita macam ni kan? Macam lah ada betul-betul jadi begitu. Entah ada orang saja kacau kot, sendiri kena tipu."

Khai segera menegur anak gadis itu. "Eh! Cerita betul ni, apa yang rekaan nye? Kawan abang yang kena... dua tahun lepas. Dia yang cerita... hari yang sama dia kena. Kebetulan hari tu ada majlis yang dianjurkan, dia ada tolong dalam majlis tu. Dia tak sedap hati... jadi dia beritahu lah kat abang,"

Khai tersenyum. "Benda-benda ghaib ni... jangan cepat sangat anggap rekaan. Tapi jangan jugak takut sangat, nanti syirik. Seolah anggap lebih takut benda ghaib dari tuhan..."

Rosnita segera meminta maaf. "Tapi... abang pernah jumpa ke benda-benda macam tu?" Ye lah... mentang-mentang sekarang ni aktiviti bebas, buat ujian keberanian. Tuptap bagi cerita hantu...

"Pernah... beberapa kali. Kawasan rumah abang ada tempat yang memang keras... jadi kekadang ternampak lah benda. Dan kekadang dengan kengkawan abang yang lain, kita buat aktiviti 'buru hantu'. Ada masa lalu tempat yang usang, yang keras... fuuuh! Tiba-tiba rasa kehadiran sesuatu yang tak dapat dijelaskan, meremang bulu roma."

Tersirap darah Rosnita bila dengar. Malah ahli kumpulan dia yang lain juga ada yang memberi reaksi berlainan; ada yang sama takut, tak percaya... malah ada yang tergelak geli hati melihat rakan lain senang sangat ditakutkan oleh cerita yang diberi oleh abang senior.

"Apa sambungan cerita tadi? Kata kawan abang yanng kena, kan? Macam mana boleh kena?" Tanya si Jessica Liew yang duduk disebelahnya. Ish... kenapa suruh cerita lagi? Dah naik seram sejuk dah ni! Nanti tak boleh tido kang... siapa nak makan saman?

Khai tergelak. "Baiklah, abang cerita. Tadi pun dah kata kawan abang ni ada tolong dalam satu majlis ni; satu kumpulan besar yang adakan majlis konvensyen setiap tahun. Sebab tu... dia kena datang awal, rumah dia taklah jauh sangat. Naik LRT setengah jam boleh sampai." Khai mengeluh seketika, sambil mengangkat air minuman untuk melegakan dahaga.

"Kawan abang ni terlajak keluar awal, terlupa dekat satu stesen ni dia bukak lewat sikit... renovasi. Jadi terpaksa jalan ke stesen yang berdekatan, ada laluan ni... belakang kawasan perumahan. Dulu pernah jugak dia lalu kat situ.... masa pagi, lewat petang, tengahari... malam. Tak pernah kena benda pelik. Jadi dia memang tak sangka lah terjumpa apa-apa."

"Apa yang jadi?" tanya si Ashraf. Rosnita asyik menjeling rakan-rakannya yang masih mahu abang Khai menyambung ceritanya.

"Kawan abang ni lalu lah lorong belakang nih, masa tu nak dekat subuh... ingat kan okay lah. Mana tau dekat separah jalan ni, dia ternampak depan dia belakang satu rumah ada sesuatu mengipas sekeliling. Pelik jugak dia rasa masa tu sebab... ada ke orang pagi buta lepak belakang dapur macam tu? Masa tu dia tak fikir apa-apa, terus jalan ke depan."

"Mana tau semakin dia dekat, lagi jelas dia nampak orang yang sedang mengipas diri tu. Orang tu tengah duduk bersila. Satu tangan pegang kertas tebal untuk kipas diri... tangan satu lagi pegang tongkat panjang. Dia pandang dari penjuru mata, tak cuma pandang tepat kat 'orang' tu. Rupa dia macam seorang makcik tua, berbaju kurung dan kepala bertutup kain batik. Teringat dia rupa arwah moyang dia dulu. Bila kawan abang ni perasan tentang semua ni, tetiba makcik tu ketuk lantai simen yang dia duduk tu dengan tongkatnya. Makin dekat dia hampiri tempat tu, makan laju dia ketuk. Dia kata masa tu... macam nak nangis seramnya."

Mei Ling yang duduk bersama Rosnita dan Jessica lantas memegang lengan Rosnita ketakutan. "A-apa jadi lepas tu?"

Khai memandang kesemua mereka dengan teliti. "Makcik tu tegur dia, bagi salam. Masa tu kawan abang tanpa fikir terhenti and menjawab, terbiasa. Lagipun orang kata dosa kalau tak jawab salam orang. Makcik tu pun tiba-tiba berkata dengan lantang, 'Kamu ni Islam ke? Teruskan berjalan, tapi jangan pandang belakang. Ada jin datang mengikut kat belakang. Jangan lalu dekat sini lagi,'"

Jamal tiba-tiba ketawa berdekah-dekah. "Jangan Pandang Belakang? Bukan ke ada filem citer hantu tajuk tu? Haha... korang kena tipu ngan abang Khai!"

"Ish!" tegur Khai. "Filem tu jangan kau ambik serius, tak seram pun. Kawan abang yang tengah cerita ni pun geli hati tengok filem tu. Cerita tu tak seseram yang dia kena! Jangan nak banding!"

Jamal terus terdiam sambil Khai menyambung cerita.

"Kawan abang terus rasa risau, dia angguk perlahan... dan terus berjalan. 'Makcik' tadi terus berkumat kamit... bercakap guna bahasa yang dia tak faham, macam marah satu benda. Kawan abang masa tu takut betul... nak gerak kaki masa tu, susah. Walaupun azan subuh dah berkumandang, rasa tak sedap hati dia tak hilang. Terus dia berulang kali baca kuat surah Al Masad, empat Qul, ayat kursi berkali-kali sambil jalan."

"Masa mula tu, susah macam tak boleh keluar suara... tapi digagahkan juga. Semakin dia ulang, semakan lantang suaranya, makin laju dia dapat jalan ke depan. Tapi dia masih tak berani pandang belakang, masih lagi teringat kata makcik tua tadi. Bila dia sampai ke kawasan stesen LRT yang berikut, lantas dia pergi ke restoran mamak berdekatan. Nasib baik ramai orang bersarapan pagi di sana. Baru dia berani pandang belakang, mujur tak ada benda buruk lain berlaku hari tu."

Rosnita memandang Khai dengan waswas. "Itu jer? Ingat seram sangat..." katanya walaupun dalam hati terasa seram sedikit. "Bukannya memang keluar hantu..."

"Dah tu, kau mahu kawan senior kena kacau jin?" tanya Sherina, gadis manis yang duduk tak jau dari nya. Rosnita terus terdiam.

"Mujur lah tak ada apa-apa... sebab kawan abang memang tak ada hasrat nak tengok rupa mana-mana makhluk halus," sambung Khai, seolah tidak terganggu oleh pertengkaran antara Rosnita dan Sherina tadi. "Sebab dulu... ada pakcik dia, beritahu kalau baca doa dilindungi dari makhluk halus, mintak 'terang mata'... mungkin dengan kuasa tuhan diberi kebolehan melihat benda yang halus. Dia tak mahu tu, sebelum ni pun ada masa dia pernah ternampak... terasa kehadiran makhluk halus. Dulu keluarga dia banyak berlaku perkara pelik... ada orang cuba ganggu. Malah dia pernah diberitahu... dia pernah dikacau tanpa sedar beberapa kali. Ada ustaz beritahu, masa keluarga dia datang berubat... kakak sulung dia ada masalah sikit."

"Jadi bila benda macam ni berlaku, kawan abang ni tak mahu ambil ringan. Siapa nak, tanpa sedar bawa balik makhluk halus ke rmah... semua mesti tak nak keluarga kena kacau hantu kan?"

Semua pelajar yang berkumpul terus menjawab ya. Memang la... tengok cerita hantu pun risau, siapa mahu kena benda macam yang ditonton kat tv?

Beberapa lagi pelajar bertanya kepada senior, sambil Khai menambah... sebab utama kawannya berasa risau adalah kerana latar belakang keluarganya. Arwah datuknya pernah tahu bahasa Jawa halus, bahasa yang selalu digunakan bomoh nusantara untuk bercakap dengan jin. Walaupun dia tidak pasti... pengalaman yang dirasa pada hari itu tidak dapat dia lupakan. Malah, tak lama selepas itu, kawan senior Khai ternampak dari jauh... rupa seakan makcik yang pernah dia jumpa di tempat yang sama.

Senior Khai menyambung, dia dan kawannya ada berbincang tentang perkara itu... dan kawannya berasa sangsi tentang 'jin' yang disebutkan. Adakah makcik itu seorang biasa yang memberi amaran kepadanya tentang jin yang lain... ataupun jin yang dimaksudkan adalah 'makcik' itu sendiri. Abang Khai menambah yang kawan dia pernah memberitahu yang dia berasa seperti pernah ternampak nenek kebayan. Malah rupa nya seakan sama...

Malam itu, kesemua mereka tak habis-habis berbincang tentang pengalaman kawan senior. Boleh dikatakan... walaupun setelah selesai kem motivasi mereka dijalankan, cerita perihal kawan senior sering disebut-sebut. Malah ada diantara rakan-rakannya selalu bertemu dengan senior untuk mendengar cerita hantu yang lain.

Rosnita tidak suka, dia cuba untuk melupakan cerita seram tersebut. Bukannya dia harap dia sendiri kena, jadi tak payah la fikir apa kemungkinannya kalau kawan senior tidak mengikut kata makcik tua itu dan memandang ke belakang. Ataupun apa yang mungkin terjadi kalau kawan senior tidak menjawab salam tersebut, adakah makcik itu akan menghampiri dia dan memaksa dia menjawab salam tersebut. Buat apa fikir? Sendiri buat takut aje...

xxx

Hari senja, Rosnita balik ke kampung. Ada projek pembangunan baru berdekatan kawasan rumah keluarganya. Jadi Rosnita mengambil jalan pintas yang lain untuk balik ke rumahnya. Walaupun laluan yang diambilnya bukan tempat yang biasa dilalui, Rosnita dah biasa dengan kawasan persekitaran rumahnya. Takkan sesat untuknya pulang ke rumah.

Rosnita tersenyum memikirkan keluarga di rumah yang tidak ditemu sebulan. Rindunya...

Tiba-tiba... satu suara aneh menegurnya. Suara itu memberi salam kepada Rosnita. Lantas langkah Rosnita terhenti.

"Jangan Pandang Belakang..."
An attempt at writing an original horror story. Currently in Malay. Later I try rewrite this into English.

Based on a true story.
Comments2
Join the community to add your comment. Already a deviant? Log In
Gypsydres's avatar
You tempted me to write a continuation LOL